Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Pernahkah
soalan ini ditanya kepada diri ataupun terfikir; Adakah kita lebih
menyayangi Allah atau Allah yang lebih menyayangi kita...?
Jika kita
menyayangi Allah, adakah kita menuruti segala perintah dan larangan-Nya..?
Tetapi jika kita melanggar perintah-Nya, pernahkah ditarik kembali
semua nikmat yang diberikan oleh-Nya...?
Pernahkah
pula kita terfikir bahawa orang-orang yang menyekutukan Allah; namun
dalam masa yang sama nikmat Allah tetap tercurah kepada seluruh
makhluk-Nya tanpa mengira apa agama dan jenisnya (manusia, jin,
binatang, tumbuh-tumbuhan, angin, planet-planet dan pelbagai lagi;
termasuk makhluk yang tidak kita ketahui).
Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah Shalallahu Alaihi Wassalam bersabda, “Setelah
selesai menciptakan makhluk-Nya, Allah menulis dalam kitab-Nya
mewajibkan atas Diri-Nya sendiri : ‘Sesungguhnya kasih sayang-Ku
mengalahkan (mengatasi) kemurkaan-Ku’”. [2751/16] Sahih Muslim
Inilah
antara tanda bahawa Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang serta
bukti bahawa Allah lebih menyayangi makhluk-Nya berbanding kasih sayang
makhluk-Nya (manusia terutamanya) terhadap Rabb penciptanya.
Di dalam Al-Quran, seperti yang telah kita ketahui setiap surah pada permulaannya telah diletakkan nama dan sifat Allah (kecuali At-Taubah) iaitu, ‘Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Jika
kita memperhatikannya, seolah-olah Allah Subhana wa Ta’ala mahu
makhluknya memahami bahawa cara yang pertama sekali mengenal Rabb mereka
adalah dengan pemahaman bahawa kemurahan dan kasih sayang Allah itu mengatasi segalanya. Perkataan Maha Pemurah dan Maha Penyayang ini juga telah diulang lebih seratus kali.
Di dalam sebuah hadis yang menyatakan kasih sayang Allah;
Dari Salman al-Farisi r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya
Allah memiliki 100 kasih sayang, ada satu kasih sayang (telah
diberikan) agar semua makhluk menyayangi di antara mereka, 99 kasih
sayang lainnya untuk Hari Kiamat.” [2753] Sahih Muslim